Translate

Tuesday, 19 January 2016

Choc Chip Cookies








Choc Chip Cookies yang menjadi kegemaran kami sekeluarga. Antara biskut yang mendapat sambutan yang hangat dari pelanggan pada zaman saya mengembil order dulu. 






Choc Chip Cookies
Resipi olahan: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan:
1/2 cawan (125g) butter 
3/4 cawan gula perang
1 biji telur gred A
2 sudu teh vanilla
3/4 cawan choc chips
1/2 cawan kekacang yand dipanggang (saya guna badam cincang) - nak letak lebihpun boleh

Bahan yang diayak bersama:
2 cawan tepung gandum
3/4 sudu teh baking soda (soda bicarbonate/bicarbonate of soda)
1/2 sudu teh baking powder

Cara membuatnya:
Pukul butter dan gula hingga kembang. Masukkan telur dan vanilla dan pukul lagi hingga kembang dan gula larut. Masukkan tepung dan kaup balikkan hingga rata. Jangan terlebih gaul yer. Masukkan choc chips dan kekacang dan gaul lagi. Sudukan sedikit adunan sebanyak 1/2 sudu teh atau lebih (ikut saiz dikehendaki) atas dulang yang bergris. Bakar pada suhu 170-175 darjah selama 12-18 minit mengikut oven masing-masing serta mengikut saiz biskut. 

Selamat mencuba!!





Monday, 18 January 2016

Ubi Kemili Rebus



Minum petang bersama ubi kemili rebus yang dihidangkan bersama kelapa parut yang digaul dengan gula dan sedikit garam. Dipadankan pula dengan jus roselle homemade dan kopi susu panas.. Memang heaven!





Cara untuk menyediakan juadah ini sangat mudah. Ubi kemili yang telah dibasuh bersih direbus bersama sedikit garam sehingga empuk. Sementara menunggu ubi empuk, gaul kelapa parut putih bersama sedikit garam dan gula secukup rasa. Bila ubi telah empuk, toskan airnya dan hidangkan panas-panas bersama kelapa parut tadi.

Puding Jagung




Puding Jagung
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

12 g agar-agar bertali
4 cawan air (kurangkan jika suka puding lebih keras)
1 tin jagung berkrim (cream style) - saya blend separuh dan biar separuh begitu saja..terpulang kalau nak blend semua atau biar semua begitu saja
1/2 cawan susu cair
1/2 cawan santan 
1 cawan gula (atau ikut citarasa masing2)
1 sudu makan butter
1 biji telur
4 sudu besar tepung kastad 
Sedikit vanilla
Secubit garam

Rendam agar-agar hingga lembut. Bilas dan satukan dengan air. Masak sehingga agar-agar cair.

Bila agar-agar sudah larut, masukkan gula. Kacau sehingga gula larut. Masukkan jagung, butter dan garam. Kacau sekali sekala hingga butter cair dan adunan mendidih.

Sementara itu satukan telur, vanilla dan susu cair. Pukul perlahan-lahan dengan garfu hingga sebati. Masukkan tepung kastad sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga sebati dan tak berketul.

Bila adunan agar-agar telah mendidih, alihkan dari api. Perlahan-lahan tuangkan adunan telur, susu dan tepung kastad tadi ke dalam adunan agar-agar sambil dikacau setiap masa. 

Masak semula dengan api sederhana sambil dikacau selalu sehingga mendidih semula. Kecilkan api dan masak lagi selama 3-4 minit. Angkat.

Basahkan acuan dan tuang adunan ke dalam acuan. Biarkan sejuk sedikit dan bolehlah disimpan dalam petisejuk sebelum dihidangkan.



Steamed Red Velvet Cupcakes (Cupcake Red Velvet Kukus)



Red Velvet Kukus bersama Cream Cheese Frosting, resipi mudah menggunakan blender sahaja untuk mengadun adunan cupcakenya. Cupcake ini dibuat khas untuk guru anak-anak sempena sambutan Hari Guru. Alhamdulillah cikgu-cikgu menyukainya.






 Steamed Red Velvet Cupcakes
(Red Velvet Kukus)
Resipi olahan: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan A (ayak bersama):
330 g tepung gandum
15 g serbuk koko
2 sudu teh double action baking powder
3/4 sudu teh baking soda

Bahan B:
3 biji telur gred A (pastikan telur fresh)
1 cawan gula castor
1 1/2 sudu teh vanilla
1 sudu teh ovalette

Bahan C (satukan semua bahan dan kacau):
250 ml susu cair/segar
2 sudu teh atau secukupnya pewarna merah (bright red)
1 1/2 sudu teh cuka/ jus lemon (sy guna cuka epal)
250 ml minyak masak

Cara membuatnya:

Masukkan bahan B ke dalam blender dan blend selama 5-8 minit. Tuang ke dalam bekas agak besar dan masukkan bahan A dan C secara berselang seli (kacau dulu bahan C sebab minyak dan cecair akan terpisah jika dibiarkan lama tak dikacau). Kaup dan balikkan biar sebati. Masukkan ke dalam acuan cupcake atau lompang dan kukus dengan api sederhana lebih kurang 10-15 minit. Jangan guna api besar yer, nanti pecah bahagian atas cuppies. Bila dah sejuk bolehlah dihias dengan cream cheese frosting.

Cream Cheese Frosting 
Resipi: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

250g cream cheese (sy guna Philly)
Lebih kurang 1/2 cawan gula halus (gula dikisar dan ayak)
3/4 cawan krim putar jenis nondairy (nondairy cream- sy guna Vivo)-pukul kembang
Sedikit esen vanilla (sy guna clear vanilla)
Jus dan parutan kulit lemon secukupnya jika suka

Pukul cream cheese biar lembut. Masukkan gula, vanilla, lemon jus dan perutan kulit lemon jika suka dan pukul sebati. Masukkan krim yang telah dipukul kembang dan pukul perlahan biar rata. Jangan terlebih pukul nanti frosting jadi lembik.



Kerabu Udang dan Nenas




Kerabu yang sangat mudah disediakan dengan menggunakan udang dan nenas sebagai bahan utamanya. Enak disajikan dengan nasi panas.


Kerabu Udang dan Nenas
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi



Udang - dicelur hingga masak
Nenas - dipotong kecil
Cili api - hiris
Bawang putih - cincang
Tomato - potong dadu
Bawang besar - hiris halus
Sos ikan
Gula merah
Garam jika perlu
Jus limau kasturi
Kacang tanah - sangai dan tumbuk kasar

Cara menyediakannya:

Cili api, tomato dan bawang putih ditumbuk pecah-pecah. Masukkan gula merah, sos ikan dan jus limau kasturi dan gaul hingga sebati. Suaikan rasa dan jika perlu tambahkan garam secukup rasa. Satukan dengan udang, nenas, kacang tanah dan bawang besar. Gaul hingga sebati. Sedia untuk dihidangkan








Kerabu Petai



Kerabu petai yang mampu menjadi penambah selera khususnya buat peminat petai. Cara menyediakannya adalah sangat mudah. Boleh gunakan petai yang mentah ataupun yang dicelur terlebih dahulu.


Kerabu Petai
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan:
Petai - dibuang kulit dan dihiris halus (mentah atau dicelur dahulu)
Jus limau kasturi
Garam
Gula
Kerisik
Bawang besar - dihiris halus
Ikan bilis - digoreng garing


Bahan-bahan ditumbuk bersama:
Cili api
Cili hidup
Belacan
Bawang merah

Cara menyediakannya:

Satukan petai bersama dengan bahan-bahan yang ditumbuk, garam, gula, kerisik, bawang besar dan jus limau. Gaul hingga rata. Taburkan ikan bilis dan gaul lagi. Sebaiknya ikan bilis dimasukkan sejurus sebelum dihidangkan supaya kekal rangup semasa dimakan.

Puding Roti Berjeli





Puding enak yang sangat sesuai untuk dijadikan pencuci mulut. Kalau suka boleh juga ditambah dengan buah-buahan dalam tin. Sangat sesuai dihidangkan di kala cuaca panas.











Puding Roti Berjeli
Resipi: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Untuk lapisan puding:
37g agar-agar tali (bukan yg serbuk)
1 tin susu cair
Air secukupnya (air + susu = 8 cawan cecair)
5 keping roti
2 cawan gula ( boleh kurangkan)
Sedikit esen vanilla

Untuk jeli:
2 kotak jeli perisa strawberry
350ml air
Kalau suka boleh tambah buah2an dalam tin..

Rendam agar-agar dalam air setengah jam dan bilas hingga bersih. Masak agar-agar bersama air hingga mendidih dan agar-agar larut. Masukkan gula dan kacau hingga larut. Tapis dan masukkan semula ke dalam periuk. Koyak2kan roti dan rendam dalam susu. Kisar roti yg direndam tadi hingga halus. Masukkan ke dalam periuk bersama agar2 tadi dan masukkan vanilla. Masak atas api sederhana sambil dikacau selalu hingga mendidih. 

Cara memasak jeli:  Didihkan air dan masukkan jeli. Kacau hingga larut dan angkat.

Cara melapis puding: Tuang sedikit adunan puding ke dalam bekas kecil. Bila hampir keras tuangkan sedikit adunan jeli di atas lapisan pertama tadi. Bila jeli dah keras masukkan adunan puding dan biar hingga hampir  keras. Akhir sekali tuang lagi selapis lapisan jeli dan susun buah dalam tin jika suka. Biar hingga beku. Simpan di dalam peti sejuk sebelum dihidang. Kalau guna bekas yang besar, buat dua layer sajapun dah cukup..bawah puding dan atas jeli..

Selamat mencuba!







Sagu Gula Melaka/Sagu Pulau




Hidangan tradisional yang sangat menyegarkan terutama bila dihidangkan semasa cuaca panas. Gabungan sagu dengan kuah santan dan gula melaka yang lemak-lemak manis sangat sesuai disajikan sebagai hidangan pencuci mulut. Cara membuatnya juga sangat mudah. Kalau anda kurang gemarkan makanan bersantan, bolehlah gantikan santan dengan susu cair.





Sagu Pulau/ Sagu Gula Melaka
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Sagu
Air secukupnya

Sirap gula melaka:
Gula melaka
Air
Daun pandan - disimpul

Sos santan (bleh juga gantikan dengan susu cair):
Santan
Daun pandan -disimpul
Sedikit garam

Cara menyediakannya:

Rendam sagu dalam air selama 30 minit. Tapis dan bilas dengan air mengalir. Toskan sagu. Masak air secukupnya hingga mendidih (sagu akan mengembang bila dimasak, jadi air perlu lebih). Bila air telah mendidih, masukkan sagu. Kacau sehingga sagu kelihatan jernih. Tuang ke dalam penapis dan bilas dengan air mengalir untuk menghilangkan kanji. Toskan dan masukkan ke dalam acuan. Jika suka boleh letakkan sedikit pewarna makanan. Simpan sagu dalam petiais. Hidangkan bersama sirap gula melaka dan sos santan (atau susu cair) yang disejukkan. 

Kuih Sagu





Kuih tradisi yang sangat mudah untuk disediakan. Sesuai dijadikan juadah untuk sarapan dan juga minum petang. 





Kuih Sagu
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

1 cawan sagu
1/3 cawan air
2/3 cawan gula (atau ikut manis yang disukai)
Sedikit pewarna merah
Beberapa titis esen ros
Kelapa parut putih yang digaul dengan sedikit garam

Rendam sagu selama 30 minit. Masukkan dalam penapis dan lalukan bawah air paip untuk membilasnya. Masak lebih kurang  7 cawan air hingga mendidih. Masukkan sagu dan kacau sentiasa hingga sagu kelihatan jernih. Tuangkan ke dalam penapis  dan lalukan di bawah air paip yang mengalir untuk membuang lebihan kanji. Toskan. Sementara itu satukan 1/3 cawan air, gula, pewarna merah dan esen ros. Masak sehingga menjadi pekat. Masukkan sagu tadi dan masak sebentar biar likat. Tuang ke dalam loyang atau acuan dan biarkan sejuk. Bila dah sejuk bolehlah dipotong dan digaulkan dengan kelapa parut yang bercampur sedikit garam.


Nona Manis




Nona Manis berasal dari negara jiran iaitu Indonesia. Rasanya seakan kuih talam pandan, cuma rupa bentuknya agak berbeza. Selain dari bentuknya yang asal, saya juga buat dalam bentuk bunga-bunga.










Nona Manis
Resipi Asal: Warisan Mama
Sumber Rujukan: Azlita Aziz (Di sini)
Dicuba oleh: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan- bahan A:
1 biji telur
1/2 cawan gula halus (saya guna gula castor)
1 cawan santan (saya guna santan segar)
1 cawan tepung gandum

Satukan gula, tepung dan santan. Kacau sebati dan ketepikan. Pukul telur hingga kembang dan campur dengan bahan tadi Saya satukan semua bahan dan kisar dalam blender hingga sebati). Ketepikan.

Bahan-bahan B:
1/2 cawan santan pekat
1/2 cawan air pandan (5 helai daun pandan dikisar bersama 1/2 cawan air, kemudian ditapis)
1/4 cawan gula halus (saya guna gula castor)
1/4 cawan tepung jagung
Secubit garam
Sedikit pewarna hijau 
Sedikit pandan emulco jika suka ( saya tak guna)

Satukan semua bahan dan masak atas api sederhana sehingga pekat, berkilat dan adunan meletup-letup. (Saya kisar semua bahan dalam blender sebelum masak hingga pekat dan berkilat). Satukan adunan ini dengan adunan A tadi dan kacau sebati hingga mendapat adunan yang pekat dan licin. 

Bahan-bahan C:
1 cawan santan pekat
1 sudu besar tepung gandum
1 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam (saya letak skit jer garam)

Satukan semua bahan C (saya kisar semua bahan dalam blender) dan kacau atas api sederhana hingga pekat. Sejukkan sebentar sebelum dimasukkan ke dalam piping beg.  (Saya buat 1 1/2 adunan untuk adunan C ini)

Panaskan kukusan dan balut tudung pengukus dengan kain. Sapu acuan lompang (saya guna acuan lompang dan acuan tart) dengan minyak. Masukkan adunan hijau 3/4 penuh acuan (saya letak lebih sedikit dari 1/2 acuan, tapi tak sampai 3/4 penuh sebab nakkan bahagian hijau tu nipis sedikit). Kemudian paipkan adunan putih di tengah2 tengah adunan hijau sehingga adunan naik hampir penuh acuan. Kukus selama 7-10 minit menggunakan api sederhana. Sejukkan sebelum keluarkan dari acuan. 

Selamat Mencuba!



Somsom




Somsom merupakan kuih tradisi yang sangat popular di bulan puasa. Rasanya yang lemak-lemak manis sangat sesuai dijadikan juadah pemanis mulut dan untuk berbuka puasa.








Somsom
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

1 cawan tepung beras
3 cawan santan (saya guna 1 cawan santan pekat + 2 cawan air)
Sedikit garam

Bahan2 untuk sirap gula melaka:
Gula melaka
Air
Daun pandan disimpul

Cara menyediakan somsom:
Satukan semua bahan dan masak atas api sederhana sambil dikacau setiap masa sehingga kental dan berkilat. Masukkan ke dalam acuan.

Cara menyediakan sirap:
Satukan semua bahan dan masak hingga mendidih dan gula larut. Kacau sekali sekala. Ketepikan daun pandan dan tapis sirap.

Hidangkan somsom bersama sirap gula melaka pada suhu bilik ataupun sejukkan di dalam petisejuk sebelum dihidangkan.

Sunday, 17 January 2016

Roti Siang dan Malam



Roti Siang dan Malam nama diberi buat roti yang mempunyai dua perisa dan dua warna ini. Roti ini menjadi kegemaran anak-anak saya serta kawan-kawan sekolah mereka. Roti yang sangat gebu ini enak dimakan begitu sahaja atau dicicah dengan Sos Butterscotch.









Roti Siang Dan Malam
Resipi: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Adunan Biasa
Bahan2:
3 cawan tepung high protein (bleh guna tep gandum tp tepung high protein lebih baik)
2 sudu makan susu tepung
1/4 cawan gula kastor
2 sudu makan butter/marjerin
1 cawan air suam 
2 sudu teh yis segera
Sedikit garam (1/2 - 1 sudu teh)
Sedikit vanilla jika suka

Satukan tepung bersama susu tepung, gula, garam dan gaul rata. Masukkan butter/marjerin dan gaul hingga jadi seperti serbuk roti. Buat lubang di tengahnya dan masukkan air suam, vanilla dan yis. Gaul rata dan uli selama 10-15 minit. Tambahkan sedikit tepung atau air jika perlu semasa menguli. Buatkan bentuk bulat dan sapu sedikit minyak bahagian luarnya. Masukkan ke dalam bekas dan tutup. Ketepikan lebih kurang sejam atau sehingga doh naik sekali ganda. Tumbuk doh untuk membuang angin di dalamnya dan bentukkan bulat- bulat sebesar bola golf. Susun berselang seli dengan adunan coklat di dalam loyang. Ketepikan selama lebih kurang setengah jam atau hingga doh naik sekali ganda. Sementara itu panaskan oven pada suhu 180 djh. Jika suka boleh sapu atas roti dengan telur yg dipukul dengan sedikit air atau susu (egg wash) dan boleh ditabur bijan atau sebagainya di atas doh. Bakar hingga kuning keemasan (lebih kurang 15-20 minit jika buat seperti dalam gambar- bergantung pada saiz doh dan oven). Keluarkan dari loyang dan sementara roti masih panas sapukan permukaannya dengan marjerin/butter.

Adunan Coklat
Bahan2:
2 2/3 cawan tepung high protein (bleh guna tep gandum tp tepung high protein lebih baik)
1/3 cawan serbuk koko (boleh kurangkan kalau tak suka rasa coklat terlalu kuat)
2 sudu makan susu tepung
1/3 cawan gula kastor (boleh kurangkan)
2 sudu makan butter/marjerin
1 cawan air suam 
2 sudu teh yis segera
Sedikit garam (1/2 - 1 sudu teh)
Sedikit vanilla jika suka

Satukan tepung bersama susu tepung, serbuk koko, gula, garam dan gaul rata. Masukkan butter/marjerin dan gaul hingga jadi seperti serbuk roti. Buat lubang di tengahnya dan masukkan air suam, vanilla dan yis. Gaul rata dan uli selama 10-15 minit. Tambahkan sedikit tepung atau air jika perlu semasa menguli. Buatkan bentuk bulat dan sapu sedikit minyak bahagian luarnya. Masukkan ke dalam bekas dan tutup. Ketepikan lebih kurang sejam atau sehingga doh naik sekali ganda. Tumbuk doh untuk membuang angin di dalamnya dan bentukkan bulat sebesar bola golf.

Sos Butterscotch:
1 cawan gula castor (gula pasirpun ok)
1 cawan krim UHT (sy guna Meadow Gold)
1/4 sudu teh garam
2 sudu besar butter
Sedikit vanilla
1/2 cawan air panas mendidih

Masak gula atas api perlahan hingga keperangan. Masukkan air panas mendidih dan kacau sehingga gula cair. Kalau perlu tambahkan sedikit lagi air panas. Kacau dan pastikan gula hancur sepenuhnya. Masukkan krim,s garam, vanilla dan butter. Kacau sentiasa hingga pekat. Bila sudah sejuk simpan dalam petiais hingga pekat. Hidangkan bersama Roti Siang Dan Malam..
















Saturday, 16 January 2016

Puding Berkuah



Puding yang sangat sesuai dihidangkan sebagai pencuci mulut dan untuk minum petang, terutama sekali semasa cuaca panas. Digandingkan pula dengan kuah serta buah longan atau laici dalam tin menjadikannya lebih istimewa.






Puding Berkuah
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan untuk lapisan puding:
9 g agar-agar bertali
2 1/2cawan air (boleh tambah hingga 3 cawan air jika suka puding yg lembut)
3/4 cawan gula (atau secukup rasa manis)
1 cawan susu cair
Sedikit pewarna merah
Sedikit perisa ros

Bahan-bahan untuk lapisan jelly:
2 bungkus jelly jenama Nona - sebarang perisa digemari (saya guna perisa strawberry)
700 ml air

Bahan-bahan untuk kuah:
Laici atau longan dalam tin - sejukkan
Susu cair - sejukkan
Air batu

Cara membuatnya:

Rendam agar-agar selama 1/2 jam. Bilas dan toskan. Satukan agar-agar bersama 3 cawan air dan masak sehingga air mendidih dan agar-agar larut. Masukkan gula dan kacau sehingga larut. Masukkan pula susu cair, pewarna dan perisa ros. Kacau setiap masa sehingga adunan mendidih. Angkat dan tapiskan ke dalam bekas. Ketepikan sehingga separuh beku. Sediakan pula lapisan jelly. Masak 700 ml air sehingga mendidih. Masukkan serbuk jelly dan kacau sehingga larut. Angkat dan tuangkan ke atas puding yang separuh beku tadi. Tidak mengapa jika sebahagian dari jelly yang dituang tadi menembusi lapisan puding. Sejukkan dalam peti ais dan hidangkan begitu sahaja atau bersama kuah.

Cara membuat kuah: Satukan laici atau longan (bersama sirapnya sekali) bersama susu cair secukupnya. Tambahkan air batu