Translate

Thursday, 21 April 2016

Maruku Campur (Maruku + Kacang Masala)






Suami saya amat menggemari maruku yang halus dan biasanya dicampur dengan kekacang. Kalau pergi ke pasaraya, boleh dikatakan wajib dia beli maruku ini. Tak dinafikan memang ralit kalau mengunyah maruku jenis ini, tambah-tambah lagi ianya dicampur dengan pelbagai jenis kekacang. Baru-baru ini saya berjumpa resipi yang mirip maruku yang digemari oleh suami, lalu saya mencubanya. Ini merupakan kali pertama saya membuat maruku dan alhamdulillah merasa sangat teruja kerana maruku saya menjadi. Resipi ini menggandingkan maruku halus dengan kacang masala yang mirip kacang botak. Rasanya tak jauh beza dengan yang biasa suami beli di pasaraya, cuma disebabkan saya tiada acuan yang berlubang halus, jadi saya guna acuan yang lebih besar. 





Gabungan maruku dan kacang masala yang sangat ideal!





Untuk membuat maruku ini, satukan:
2 cawan tepung kacang kuda
1-2 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
1-2 sudu teh serbuk lada (saya guna campuran lada putih dan lada hitam)
1 sudu teh serbuk kari ayam 
1 sudu teh gula kastor 
Garam secukup rasa




Gaul hingga sebati.. 




Masukkan air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga rata sehingga menjadi doh yang tidak terlalu keras dan juga tidak terlalu lembut..




Beginilah rupa doh yang telah siap diuli..




Sediakan acuan maruku dengan lubang yang halus. Disebabkan saya tiada acuan yang berlubang halus, jadi saya guna acuan yang mempunyai lubang yang paling kecil..




Ambil sedikit doh dan bentukkan lonjong. Masukkan ke dalam acuan..




Pasangkan penutup atau bahagian atas acuan seperti dalam gambar. Acuan ini sudah sedia untuk digunakan. Ada juga acuan maruku yang berbeza dari segi rupa bentuk dan cara gunanya. Yang di dalam gambar ini contoh acuan yang saya guna untuk buat maruku.. 





Panaskan minyak yang agak banyak di dalam kuali. Bila minyak sudah panas, tekankan terus adunan  terus ke dalam minyak..




Goreng maruku menggunakan api sederhana sehingga garing. Masukkan juga beberapa helai daun kari semasa menggoreng.. 




Bila maruku sudah garing, angkat dan toskan minyaknya. Maruku ini boleh dihidangkan begitu saja atau digandingkan dengan kacang masala..




Untuk menyediakan kacang masala, satukan:
1 cawan kacang tanah
2 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu teh serbuk lada
1 1/2 sudu teh serbuk kari ayam 
4 ulas bawang putih yang ditumbuk bersama garam secukupnya dan 1 1/2 sudu teh gula

Gaul semua bahan ini hingga sebati.. 




Masukkan 2-3 sudu besar tepung kacang kuda.. 




Gaul hingga sebati.. 




Masukkan pula sedikit telur yang dipukul ringan untuk menyatukan semua bahan.. 




Gaul hingga sebati. Jika adunan terlalu melekit, masukkan sedikit lagi tepung dan gaul rata.. 




Goreng di dalam minyak panas sehingga garing.. 




Angkat dan toskan.. 




Enak dimakan begitu saja..





Labih sedap dan menarik jika digandingkan dengan maruku yang disediakan tadi.. 



Maruku Campur (Maruku + Kacang Masala)
Done by: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi
Sumber resipi: Manju's Eating Delights
(Mixture with Sev, Masala Peanuts and Fried Curry)
(Sukatan menggunakan sudu dan cawan metrik)

Bahan-bahan untuk maruku halus:
2 cawan tepung kacang kuda
1-2 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
1-2 sudu teh serbuk lada (saya guna campuran lada putih dan lada hitam)
1 sudu teh serbuk kari ayam (saya tambah)
1 sudu teh gula kastor (saya tambah)
Garam secukup rasa
Air secukupnya untuk menguli

Bahan-bahan untuk kacang masala:
1 cawan kacang tanah
2-3 sudu besar tepung kacang kuda (saya guna lebih kurang 4 sudu besar)
2 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu teh serbuk lada (saya guna 1 sudu teh campuran lada sulah dan lada hitam)
1-1 1/2 sudu teh serbuk kari ayam
4 ulas bawang putih (resipi asal guna 2 sudu teh pes bawang putih)
1 1/2 sudu teh gula
1 biji telur - pukul ringan (resipi asal guna air sahaja)
Garam secukup rasa

Bahan lain: 
Daun kari secukupnya (4-5 tangkai)
Minyak untuk menggoreng

Cara menyediakan maruku:
Satukan tepung bersama lada, serbuk cili, gula, garam, serbuk kari, serbuk kunyit dan gaul rata. 

Masukkan air sedikit demi sedikit sambil menguli hingga adunan menjadi doh yang tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut.

Sediakan acuan maruku yang berlubang halus (saya tak ada acuan berlubang halus jadi saya guna lubang yang paling kecil).

Ambil sedikit adunan, bentukkan lonjong dan masukkan ke dalam acuan. 

Panaskan minyak dan tekan acuan di atas permukaan minyak yang panas supaya adunan maruku jatuh terus ke dalam minyak. 

Goreng sehingga garing. Masukkan juga beberapa helai daun kari semasa menggoreng maruku. Angkat maruku bersama daun kari apabila sudah garing. Toskan.

Ulang menekan adunan dengan acuan dan goreng sehingga habis semua adunan. 

Cara membuat kacang masala:
Tumbuk bawang putih, garam dan gula sehingga bawang lumat. Ketepikan.

Satukan kacang bersama serbuk kari, serbuk kunyit, serbuk lada, serbuk cili dam bawang putih yang ditumbuk tadi. Gaul hingga rata.

Masukkan pula tepung dan gaul lagi hingga rata.

Masukkan telur secukupnya untuk melekatkan kacang pada tepung dan gaul hingga rata (tak perlu guna telur hingga habis). Jika agak melekit, tabur sedikit tepung di atasnya dan gaul hingga rata.

Panaskan minyak dan goreng kacang hingga garing. Angkat dan toskan. Satukan kacang bersama maruku yang sudah siap digoreng.

Selamat mencuba!!












Monday, 11 April 2016

Chrysanthemum Jelly (Jeli Teh Bunga)









Chrysanthemum Jelly atau Jeli Teh Bunga ini diperbuat dengan menggunakan 3 bahan sahaja. Salah satu bahan utamanya ialah bunga Chrysanthemum yang kering. Bunga Chrysanthemum ini disatukan dengan air panas untuk membuat teh Chrysanthemum atau teh bunga. Teh bunga ini seterusnya dimasak dengan serbuk jeli segera untuk dibuat Jeli Teh Bunga. Teh bunga dikatakan mempunyai pelbagai khasiat termasuklah dapat mencuci hati (liver detox), menguatkan imuniti badan, 
menyejukkan badan dan lain-lain lagi.





Jeli Teh Bunga yang sungguh elegan.. 




Antara bahan utama yang digunakan untuk membuat jeli ini.. Untuk membuat jeli teh bunga, kita memerlukan sebungkus jeli segera Happy Grass..




Beginilah rupa bunga Chrysanthemum yang kering. Bunga ini boleh didapati di sesetengah pasaraya dan juga kedai ubat Cina. Hanya 10g diperlukan untuk membuat jeli yang menyegarkan.. 




Basuh bunga chrysanthemum dan kemudian  rendam di dalam air lebih kurang 15-20 minit. Toskan dan bilas beberapa kali untuk menghilangkan bendasing dan kotoran. 




Masak 8 cawan (2 liter)  air hingga mendidih... 




Masukkan bunga Chrysanthemum yang telah dibersihkan.. 




Biar selama 2-3 minit..




Tapiskan dan simpan bunga untuk digunakan sebagai hiasan..




Sukat 5 1/2 cawan (1 375 ml) air rebusan Chrysanthemum dan masak bersama sebungkus jeli Happy Grass hingga mendidih. Kecilkan api dan masak lagi selama 3 minit..




Tuangkan adunan ke dalam acuan pilihan dan hias dengan bunga Chrysanthemum..




Sejukkan sebelum dihidangkan..








Chrysanthemum Jelly (Jeli Teh Bunga)
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahannya:
10 g bunga chrysanthemum kering
8 cawan air (2 liter)
1 bungkus Happy Grass Konnyaku Jelly Powder (serbuk Jeli konnyaku jenama Happy Grass)

Cara membuatnya:
Basuh bunga chrysanthemum dan rendam di dalam air lebih kurang 15-20 minit. Toskan dan bilas beberapa kali untuk menghilangkan bendasing dan kotoran. Ketepikan.

Masak 8 cawan air hingga mendidih. Matikan api dan masukkan bunga chrysanthemum. Biar selama 2-3 minit bergantung kepada kepekatan teh yang dikehendaki. 

Tapiskan air rebusan tadi dan ketepikan bunganya untuk digunakan kembali sebagai hiasan. Rasa dulu teh ini samada menepati citarasa. Kalau rasa agak pahit atau 'keras' boleh tambah sedikit air.

Sukat 5 1-2 cawan (1 375 ml) air teh bunga tadi dan masukkan ke dalam periuk bersama serbuk jeli.  Masak atas api besar sambil dikacau selalu sehingga mendidih. Bila sudah mendidih, perlahankan api dan masak selama 3 minit. (Air rebusan yang selebihnya boleh ditambah gula dan dijadikan minuman teh bunga yang menyegarkan).

Tuangkan jeli ke dalam acuan dan hiaskan dengan bunga chrysanthemum yang diasingkan tadi. Sejukkan di dalam petias sebelum dihidangkan.
Selamat mencuba!


Tuesday, 5 April 2016

Puding Mangga









Puding Mangga yang sungguh menyegarkan. Sangat sesuai dihidangkan sebagai pencuci mulut atau juadah minum petang terutama semasa cuaca panas. Lapisan bawahnya dibuat menggunakan isi mangga yang dikisar halus, manakala lapisan atasnya menggunakan isi mangga segar yang dihiris halus dan disusun menyerupai kelopak bunga. Puding ini juga sangat sesuai dibuat sebagai hantaran pertunangan atau perkahwinan.









Puding Mangga
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi
(Sukatan menggunakan cawan dan sudu metrik)

Bahan untuk lapisan bawah:
5g serbuk agar-agar
1 3/4 cawan (435 ml) air
200g isi mangga
1/4 cawan (60 ml) susu cair
1/4 cawan + 1 sudu besar gula (atau secukup rasa)
1/2 sudu teh vanilla 

Bahan untuk lapisan atas:
5g serbuk agar-agar
2 cawan (500 ml) air
1/4 cawan gula (boleh kurangkan)
1/2 sudu teh vanilla (atau sehelai daun pandan disimpul)
Mangga secukupnya - untuk hiasan

Cara membuatnya:
Sediakan lapisan bawah puding dahulu: Kisar mangga bersama sebahagian air dan ketepikan. 

Satukan baki air bersama gula dan serbuk agar-agar dan masak sambil dikacau sekali sekala hingga mendidih dan gula serta serbuk agar-agar larut. 

Masukkan mangga yang dikisar dan vanilla. Masak atas api sederhana sambil dikacau selalu sehingga mendidih semula. 

Angkat dan tuangkan ke dalam acuan. Ketepikan sehingga keras. Bila sudah keras cakar permukaan puding dengan garfu. Ketepikan.

Sediakan pula lapisan atas puding: 
Kopek kulit mangga dan isinya dipotong nipis-nipis. Susun isi mangga di atas puding tadi mengikut kreativiti masing-masing. Ketepikan.

Satukan semua bahan-bahan untuk lapisan atas puding dan masak atas api sederhana sambil dikacau sekali sekali hingga mendidih dan gula serta agar-agar larut. 

Angkat dan tapiskan. Tuang perlahan-lahan ke atas mangga yang disusun tadi. 

Sejukkan dahulu puding ini sebelum dihidangkan.