Translate

Tuesday, 31 May 2016

Puding Laici Berjeli








Semasa saya remaja,  bonda saya boleh dikatakan kerap membuat Puding Laici yang sangat enak sebagai pencuci mulut terutama sekali bila ada tetamu yang bertandang ke rumah kami. Bonda saya memang pakar memasak. Zaman sihatnya beliau mengambil tempahan serta menjual pelbagai produk makanan termasuklah kek, biskut, puding, rempeyek, aiskrim malaysia dan banyak lagi. Puding laici buatan bonda merupakan puding yang paling saya minati. Terkenangkan puding yang dibuat bonda maka saya cuba membuatnya dengan cara sendiri. Bonda saya biasanya menggandingkan puding laici dengan lapisan coklat. Saya pula membuatnya dengan lapisan jeli strawberry pada bahagian atasnya. Beginilah hasil Puding Laici Berjeli yang diilhamkan dari puding laici kegemaran saya yang biasa dibuat oleh bonda kesayangan.



Lapisan bawahnya menggandingkan laici dan susu, manakala lapisan atasnya menggunakan jeli berperisa strawberry.. Satu gabungan yang sangat serasi!






Puding Laici Berjeli 
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan:
18g agar-agar tali - rendam 1/2 jam dan toskan
4 cawan air untuk memasak puding
3/4 cawan gula
1 tin laici dalam tin - ambil 1/2 cawan sirapnya, manakala isinya disiat-siat
3/4 cawan gula (boleh kurangkan)
1 tin susu cair
1/2 sudu teh esen vanila
2 kotak jeli perisa strawberry
800 ml air untuk memasak jeli

Cara membuatnya:
Masukkan laici yang disiat ke dalam acuan. Ketepikan. Satukan 4 cawan air dan agar-agar. Masak sehingga mendidih dan agar-agar larut. Masukkan gula dan masak lagi sehingga gula larut. Masukkan pula 1/2 cawan sirap (sirap laici dalam tin), vanila dan susu cair. Masak lagi sambil dikacau sekali sekala hingga mendidih. Tapis ke dalam acuan berisi laici. Ketepikan sehingga mengeras. Sediakan pula adunan jeli mengikut arahan pada belakang kotak/bungkusan. Bila sudah siap, tuang ke atas lapisan pertama tadi. Sejukkan dahulu sebelum dihidangkan. 

Selamat Mencuba!











No comments:

Post a Comment