Translate

Wednesday, 8 February 2017

Pau/Bao


Anak ketiga saya, Azhad begitu meminati kuih pau yang berintikan kari ayam. Katanya dia selalu beli kuih pau ini di Putrajaya. Menurut Azhad, kuih pau yang dibelinya sangat lembut dan intinya juga sangat enak. Tertarik hati mendengarnya, sayapun cuba mencari resipi kuih pau yang lembut lagi gebu. Alhamdulillah, resipi yang saya cuba ini bukan saja menghasilkan pau yang gebu, malah rupa parasnya juga putih dan cantik. Resipi ini saya dapati dari tasteaseanfood.com.










Pau yang gebu dan enak.. Teksturnya sangat lembut dan ringan.. Kali ini saya gandingkan bersama inti kari ayam.. 






Penggunaan tepung pau dalam resipi ini menghasilkan pau yang bukan saja gebu, malah warnanya juga cantik..






Inti untuk kuih pau ini boleh dipelbagaikan mengikut citarasa masing-masing.. Jom tengok bagaimana cara menghasilkan pau yang gebu lagi enak ini..




Bao/Pau 
Done by: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan untuk starter
* 200g tepung pau
* 10g yis
* 145g gula aising (saya guna gula halus)
* 285ml air suam

Bahan lain untuk doh:
* 10g baking powder (saya guna 2 sudu teh double action baking powder
* 400g tepung pau
* ¼ sudu teh cuka (saya tak guna)
* ¼ sudu teh ammonium bicarbonate (saya tak guna)
* 50g shortening
* 2g garam (saya guna 1/2 sudu teh)

Bahan lain: 
Inti (saya guna inti Kari Ayam)
Potongan kertas atau daun pisang sebagai alas

Cara membuat starter:
* Satukan air suam dan yis dan kacau hingga larut.
* Masukkan tepung dan gula dan gaul rata. 
* Tutup dan rehatkan selama 1 jam.

Cara buat doh:
* Selepas sejam, satukan starter dengan semua bahan-bahan lain dan uli selama 8-10 minit.
* Tutup dan ketepikan selama 30 minit atau hingga doh naik sekali ganda.
* Bahagikan doh kepada bebola kecil seberat 50g. Ketepikan selama 10 minit.
* Ambil satu bahagian doh dan canai bentuk bulat. Letak inti di tengahnya dan bentukkan bulat.
* Alas doh yang telah dibentuk dengan potongan kertas minyak atau potongan daun pisang.
* Ketepikan selama lebih kurang 10-15 minit dan kukus menggunakan api sederhana selama 8-10 minit hingga masak (resipi asal kukus menggunakan api besar).







No comments:

Post a Comment