Translate

Thursday, 16 November 2017

Puding Roti Cocoa Puff

Ilham untuk membuat Puding Roti Cocoa Puff ini timbul setelah melihat ramai rakan-rakan di media sosial yang membuat puding roti yang dilapisi pelbagai jenis puding atau flan yang menarik lagi enak. Kebetulan saya telah membeli biskut Cocoa Puff untuk dibuat puding, jadi terfikir untuk menggabungkannya dengan puding roti. Puding Cocoa Puff merupakan salah satu puding kegemaran saya. Resipimya pernah dikongsi oleh Syaqiela di laman Buku Resepi di Facebook. Saya telah mengadaptasi resipi Puding Cocoa Puff ini untuk digabungkan bersama puding roti yang dikukus atau dibakar secara baine marrie (water bath). Hasilnya ialah puding yang bukan saja cantik dipandang mata tapi juga enak rasanya.



Puding istimewa yang menggabungkan puding roti bersama Puding Cocoa Puff




 Puding ini bukan saja cantik dipandang, tapi juga enak dinikmati pada suhu bilik ataupun setelah disejukkan.





Penggunaan biskut Cocoa Puff dalam puding ini menghasilkan puding yang cantik serta kelihatan berlapis-lapis bila dipotong








 Puding Roti Cocoapuff

Resipi puding roti: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Resipi puding Cocoapuff: Adaptasi dari resipi Sya Qiela
Dihasilkan oleh Abdul Hadi Alyunusi
(Sukatan menggunakan cawan metrik)


Bahan-bahan untuk puding roti:
12 keping roti
½ cawan gula
2 biji telur
1 ¼ (310 ml) cawan susu cair
⅔ cawan (160 ml) air
1 sudu besar butter dicairkan
½ sudu teh esen vanilla
Sedikit garam

Bahan untuk lapisan Puding Cocoa Puff
10 g serbuk agar-agar
¾ cawan gula
3 cawan (750 ml) air
¾ cawan (180 ml) susu cair
½ cawan (125 ml) santan
1 biji telur
⅓ cawan tepung kastad
60g butter
½ sudu teh esen vanilla
Pes pandan dan pewarna hijau secukupnya
Biskut Cocoa puff secukupnya


Cara membuat puding roti:
Sapu loyang 4 segi (loose based) berukuran 7 inci dengan butter dan kemudian alas dengan plastik.

Carik-carikkan roti dan masukkan ke dalam loyang. Ketepikan.
Satukan semua bahan lain dan kacau atau blender hingga sebati dan gula hancur.
Tapiskan ke dalam loyang berisi roti dan ketepikan sehingga roti menyerap bahan-bahan tadi.
Ratakan permukaan dengan belakang sudu dan kukus selama 20-25 minit menggunakan api sederhana hingga masak (boleh juga dibakar secara waterbath).
Angkat dan ketepikan sehingga sejuk. Bila telah sejuk, lalukan keliling puding dengan pisau supaya mudah dikeluarkan nanti.
Sediakan pula lapisan puding Cocoa Puff.

Cara membuat puding Cocoa Puff:
Satukan air, santan dan gula dan serbuk agar-agar. Masak sehingga mendidih dan kacau sehingga gula hancur.

Masukkan butter dan masak hingga butter cair.
Dalam bekas lain, satukan telur, susu dan tepung kastad. Blender atau kacau hingga sebati.
Tuangkan perlahan-lahan ke dalam adunan yang sedang dimasak.
Kacau selalu sehingga adunan menjadi pekat.
Angkat dan bahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan esen vanila dan satu lagi bahagian dicampur pes pandan dan sedikit pewarna hijau.
Tuang separuh dari adunan vanilla ke atas puding roti (boleh juga mulakan dengan adunan pandan). Kemudian susun biskut Cocoa Puff di atasnya.
Tuangkan pula separuh dari adunan pandan dan susun biskut di atasnya.
Ulangi hingga habis. Lapisan puding yang terakhir tidak perlu disusun biskut di atasnya.
Biar hingga puding mengeras sepenuhnya sebelum dihidangkan.ud

No comments:

Post a Comment