Translate

Tuesday 31 May 2016

Puding Laici Berjeli








Semasa saya remaja,  bonda saya boleh dikatakan kerap membuat Puding Laici yang sangat enak sebagai pencuci mulut terutama sekali bila ada tetamu yang bertandang ke rumah kami. Bonda saya memang pakar memasak. Zaman sihatnya beliau mengambil tempahan serta menjual pelbagai produk makanan termasuklah kek, biskut, puding, rempeyek, aiskrim malaysia dan banyak lagi. Puding laici buatan bonda merupakan puding yang paling saya minati. Terkenangkan puding yang dibuat bonda maka saya cuba membuatnya dengan cara sendiri. Bonda saya biasanya menggandingkan puding laici dengan lapisan coklat. Saya pula membuatnya dengan lapisan jeli strawberry pada bahagian atasnya. Beginilah hasil Puding Laici Berjeli yang diilhamkan dari puding laici kegemaran saya yang biasa dibuat oleh bonda kesayangan.



Lapisan bawahnya menggandingkan laici dan susu, manakala lapisan atasnya menggunakan jeli berperisa strawberry.. Satu gabungan yang sangat serasi!






Puding Laici Berjeli 
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan:
18g agar-agar tali - rendam 1/2 jam dan toskan
4 cawan air untuk memasak puding
3/4 cawan gula
1 tin laici dalam tin - ambil 1/2 cawan sirapnya, manakala isinya disiat-siat
3/4 cawan gula (boleh kurangkan)
1 tin susu cair
1/2 sudu teh esen vanila
2 kotak jeli perisa strawberry
800 ml air untuk memasak jeli

Cara membuatnya:
Masukkan laici yang disiat ke dalam acuan. Ketepikan. Satukan 4 cawan air dan agar-agar. Masak sehingga mendidih dan agar-agar larut. Masukkan gula dan masak lagi sehingga gula larut. Masukkan pula 1/2 cawan sirap (sirap laici dalam tin), vanila dan susu cair. Masak lagi sambil dikacau sekali sekala hingga mendidih. Tapis ke dalam acuan berisi laici. Ketepikan sehingga mengeras. Sediakan pula adunan jeli mengikut arahan pada belakang kotak/bungkusan. Bila sudah siap, tuang ke atas lapisan pertama tadi. Sejukkan dahulu sebelum dihidangkan. 

Selamat Mencuba!











Lengat Pisang vs Talam Pisang







Baru-baru ini suami bawa balik pisang pemberian seorang teman dalam kuantiti yang agak banyak. Sebahagian dari pisang tersebut kami goreng, manakala sebahagian lagi kami buat lengat dan talam. Lengat Pisang merupakan sajian kuih tradisi yang popular di Utara Tanahair. Orang muda sekarang mungkin kurang mengenali kuih ini. Cara membuatnya sangatlah mudah dan bahan yang digunakan juga tidak banyak. Resipi yang saya gunakan ini diperturunkan oleh bonda saya. Timbul pula idea semasa membuat lengat ni untuk menambah 'kepala' atau lapisan santan pada bahagian atasnya. Maka dari lengat tersebut terhasillah pula Talam Pisang.



Lengat Pisang vs Talam Pisang.. Dua-duanya sedappp!!


Lengat Pisang dan Talam Pisang 
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi
Sumber resipi Lengat Pisang: Bonda saya

 Sukatan dalam sudu dan cawan metrik 

Bahan-bahan:
1 1/2 cawan pisang lecek 
1 cawan santan (boleh lebihkan sikit kalau suka lebih lembut)
1 cawan tepung beras
5 sudu besar gula (boleh lebihkan jika suka lebih manis)
2 sudu besar sagu - rendam 15 minit, bilas dan toskan
Sedikit garam

Cara membuatnya:
Satukan semua bahan dan kacau hingga sebati dan gula larut (saya kisar semua bahan kecuali sagu dalam blender dan kemudiannya saya masukkan sagu dan kacau rata). Tuang ke dalam acuan yang disapu minyak dan dialas dengan plastik (saya guna loaf pan) dan kukus 25-35 minit sehingga masak. 

Untuk membuat talam pisang, sediakan bahagian bawah seperti resipi di atas. Guna acuan bersaiz lebih kurang 7 inci. Bila lapisan bawah sudah masak, cakar permukaan dengan garfu dan tuang adunan untuk lapisan atas. Kukus 10-15 minit hingga masak. 

Cara buat lapisan atas:
1 cawan tepung beras
3 cawan santan sederhana pekat
Sedikit garam

Satukan semua bahan dan kacau sebati. Masak sambil dikacau selalu hingga naik wap dan tuang atas lapisan pertama. Kukus lagi sehingga masak.