Translate

Sunday 6 March 2016

Tart Epal Versi Ladybird Dan Angry Bird





Dah lama sebenarnya nak cuba buat biskut jem tart berbentuk ladybug dan juga angry bird tapi hanya baru-baru ini berkesempatan mencubanya. Bentuk dan warnanya yang menarik menjadi tarikan kepada anak-anak untuk mencuba biskut ini. Kali ini saya menggunakan jem epal buatan sendiri sebagai intinya. Biskut yang telah dibentukkan dibakar terlebih dahulu, kemudian dihias dengan fondant atau royal aising. Sangat sesuai untuk dijadikan hantaran pertunangan atau perkahwinan. Tentunya juga sangat menarik jika tart ini disajikan pada tetamu terutama pada hari lebaran.




Angry Birds..




Ladybird...




Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat jem epal:

4 biji epal Granny Smith (kulit warna hijau)
Lebih kurang 1/2 cawan gula
1 sudu besar jus lemon/limau nipis
Sedikit pewarna hijau




Epal dikupas kulit dan diparut (terpulang samada nak parut halus atau separuh saja diparut halus manakala separuh lagi diparut kasar seperti yang saya buat). Masukkan ke dalam periuk/kuali bersama gula, jus lemon/limau nipis dan pewarna dan masak di atas api perlahan sambil dikacau selalu.




Masak sehingga adunan mengental dan tidak lagi melekat pada sisi periuk/kuali. 




Bila adunan telah sejuk, bulat-bulatkan untuk dijadikan inti tart dan susun di atas pinggan atau dulang yang disapu dengan sedikit minyak.




Untuk membuat dohnya, satukan 125g butter bersama  60g gula halus..




Pukul hingga kembang..




Masukkan 1 biji  kuning telur dan 1/2 sudu teh  vanilla dan pukul lagi hingga sebati..




Masukkan pula 225g tepung gandum yang telah diayak sedikit demi sedikit.. 




Gaul hingga sebati..
Bahagikan doh kepada beberapa bahagian dan warnakan dengan warna pilihan..





Untuk membuat angry bird, mulakan dengan mengambil sedikit doh yang telah diwarnakan dan leperkan. Letakkan inti di tengahnya (dalam gambar ni saya guna jem nenas) dan balut inti dengan doh.




Bentukkan doh seperti di dalam gambar di atas..





Untuk membuat jambul angry bird, ambil  sedikit doh dan gentel menjadi bentuk memanjang seperti dalam gambar. Buat dua dan cantumkan hujung kedua-duanya..





Lekatkan jambul pada bahagian atas kepala angry bird dengan menggunakan sedikit putih telur sebagai gam.  Buat sehingga habis dan susun di atas dulang bergris. Bakar pada suhu 170-180 darjah selama 10-14 minit sehingga masak. Jangan bakar terlalu lama, nanti warnanya tidak cantik. Sejukkan dahulu biskut sebelum dihias dengan fondant atau royal aising.. 






Untuk membuat tompok putih pada bahagian muka angry bird, ambil sedikit fondant berwarna putih dan gentel menjadi bulat. Leperkan sedikit fondant tersebut dan potong kepada dua bahagian seperti dalam gambar. Lekatkan satu potongan fondant tadi menggunakan sedikit air pada bahagian bawah muka angry bird.





Untuk membuat paruhnya pula, guna fondant yang berwarna kuning. Bentukkan seperti kon dan lekatkan pada muka angrybird menggunakan sedikit air. 





Gunakan fondant untuk membentuk ribbon, mata, kening, paruh dan lain-lain 'details' menggunakan kreativiti masing-masing dan lekatkan menggunakan sedikit sahaja air. 






Untuk membuat ladybird pula, warnakan sebahagian besar doh dengan warna merah dan warnakan  doh selebihnya dengan warna hitam. Ambil sedikit doh berwarna merah, leperkan dan letakkan inti di tengahnya. Kemudian balut inti dengan doh. Bentukkan bujur sebagai badan ladybird. Kelar pada bahagian atas badan ladybird dengan pisau supaya membentuk garisan seperti dalam gambar di atas. Ambil pula sedikit doh berwarna hitam dan bentukkan seperti separuh bulatan. Lekatkan menggunakan putih telur seperti dalam gambar sebagai kepala. Bakar pada suhu 170-180 darjah selama 10-14 minit hingga masak. Bila biskut sudah sejuk ambil sedikit fondant berwarna hitam. Gentel berbentuk bulat dan tekan dengan jari supaya leper sedikit. Lekatkan pada badan ladybird dengan menggunakan sedikit air. Kemudian ambil pula sedikit fondant berwarna putih dan bentukkan matanya.. 





Beginilah rupa tart ladybird yang siap sepenuhnya.. 








Tart Epal Ladybird Dan Angry bird 
Resipi:  Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan untuk inti jem epal: 
4 biji epal Granny Smith (kulit warna hijau)
Lebih kurang 1/2 cawan gula
1 sudu besar jus lemon/limau nipis
Sedikit pewarna hijau

Bahan untuk doh:
125g butter
60g gula halus (gula dikisar dan diayak)
1 biji kuning telur
1/2 sudu teh vanilla
225g tepung gandum
Pewarna pilihan

Bahan untuk deco:
Fondant
Royal icing
(Boleh guna salah satu atau kedua-duanya sekali.. Kali ni saya guna fondant sahaja)


*********************************

Cara membuat jem epal:
Epal dibuang kulit dan isinya diparut (saya parut separuhnya halus dan separuh lagi saya parut kasar.. 
Terpulang samada nak buat macam ni atau nak parut halus semuanya). Satukan dengan jus lemon atau limau nipis, gula dan pewarna. Masak atas api perlahan sambil dikacau selalu sehingga agak kental dan adunan tidak lagi melekat pada sisi periuk. Ketepikan sehingga sejuk. Bila sudah sejuk, bulat-bulatkan adunan sebagai inti.

**************************************

Cara membuat doh:
Pukul butter dan gula halus hingga kembang. Masukkan kuning telur dan vanilla. Pukul lagi hingga sebati. Kaup balikkan tepung sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang lembut (tak semestinya guna semua tepung, cukup sekadar mendapat adunan yang lembut dan mudah dibentuk).

Warnakan doh mengikut warna pilihan masing-masing. Contohnya untuk membuat ladybird, warnakan sebahagian besar doh dengan warna merah (untuk badan) dan doh selebihnya diwarnakan dengan warna hitam (untuk kepala dan bintik2 atas badan).

Ambil sedikit doh dan bulatkan. Kemudian leperkan dan letakkan inti di tengahnya. Balut inti dengan doh dan bulatkan semula. Bentukkan mengikut kreativiti masing-masing.

Susun doh yang telah siap dibentuk atas loyang yang bergris dan bakar pada suhu 170-180 darjah lebih kurang 10-14 minit. Jangan bakar terlalu lama nanti warnanya tidak cantik. Sejukkan dahulu sebelum dihias dengan fondant atau royal icing.

*************************************

Cara buat royal icing:

Bahan untuk royal aising:
200 g atau secukupnya gula aising
1 biji putih telur
Sedikit jus lemon atau clear vanilla
Pewarna

Pukul putih telur hingga berbuih-buih. Masukkan gula aising sedikit demi sedikit sambil dipukul hingga sebati. Masukkan jus lemon atau clear vanilla dan pukul hingga rata. Boleh diwarnakan mengikut warna yang dikehendaki. Jika royal aising terlalu cair, tambah sedikit gula aising dan pukul rata. Jika terlalu pekat, boleh campurkan sedikit air.







No comments:

Post a Comment