Translate

Tuesday 9 January 2018

20-Layer Strawberry Cream Cheese Mille Crepe









Mille crepe atau crepe cake berasal dari negara Itali. Ianya diperbuat dari crepe iaitu sejenis lempeng yang nipis yang dilapisi dengan filling tertentu dan disusun selapis demi selapis hingga membentuk sebiji kek.

Mille crepe yang saya hasilkan ini mempunyai 20 lapisan dan menggunakan inti yang menggabungkan cream cheese dengan strawberry. Penggemar cheese cake atau cream cheese tentu sekali menggemarinya. 

Sebenarnya mille crepe ini saya buatkan untuk projek jualan anak sulung di kolejnya. Ianya mendapat sambutan hangat dari kalangan pelajar kolej tersebut. Dalam masa yang sangat singkat, crepe cake tersebut habis dijual dan kami mendapat feedback yang sangat positif dari semua yang mencubanya.




Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan mille crepe ini, tapi bila siap terasa begitu gembira melihatkan hasilnya.. tambah gembira  bila ramai yang memuji keenakannya.. 




20-layer Strawberry Cream Cheese  Mille Crepe yang sangat enak.. sepotong memang tak cukup..






20 layer Strawberry Creamcheese Mille Crepe
Done by: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan untuk crepe:
1 cawan tepung gandum
3 sudu besar kanji kentang (potato starch)
3 ½ sudu teh gula (boleh tambah jika suka lebih manis)
120 ml susu cair
480 ml air
3 biji telur
2 sudu teh minyak masak atau butter dicairkan
Secubit garam

Bahan-bahan untuk strawberry creamcheese filling:
500 g cream cheese (sy guna Philly)
Lebih kurang ¾ cawan gula halus (gula dikisar dan ayak)
1 1/2 cawan krim putar jenis nondairy (nondairy cream - sy guna Vivo)- pukul kembang
Sedikit esen vanilla
¼ cawan (atau secukupnya) jem strawberry
½ sudu teh strawberry emulco

Cara buat crepe:
Ayak tepung gandum bersama kanji kentang. Ketepikan.

Satukan semua bahan-bahan lain dan kacau hingga sebati dan gula larut.

Tuangkan ke dalam bekas berisi tepung dan kacau hingga sebati. Tapiskan dahulu sebelum digunakan.

Lengserkan kuali leper berukuran 6 inci dengan sedikit minyak dan tuangkan sedikit adunan crepe ke dalam kuali.

Masak beberapa minit hingga mula bertukar warna. Angkat dan keluarkan dari kuali.

Ulangi hingga habis.

Bila siap sejukkan dahulu, kemudian lapiskan dengan filling.

Cara buat filling:
Pukul cream cheese hingga lembut. Masukkan gula dan jem (jangan masukkan semua sekali gula.. takut terlebih manis) dan pukul lagi hingga sebati.

Masukkan pula esen vanilla, strawberry emulco dan krim sedikit demi sedikit dan pukul hingga sebati.


Kalau kurang manis boleh tambah gula dan pukul hingga sebati.