Translate

Thursday 16 November 2017

Snow Skin Mooncake

Dah agak lama sebenarnya saya bercadang untuk membuat Snow Skin Mooncake sendiri tapi asyik tertangguh-tangguh kerana kesukaran mendapatkan acuan mooncake dan juga tepung pulut yang telah dimasak. Sebelum ini saya telah pernah mencuba thousand layer mooncake dan juga mooncake biasa versi bakar. Acuan yang saya gunakan ini saya beli dari internet saja dan ada banyak pilihan. Disebabkan kesukaran untuk mendapatkan tepung pulut yang telah dimasak, saya usahakan mencari di internet resipi yang tidak menggunakan tepung tersebut.  Keenakan Snowskin Mooncake ini banyak bergantung pada inti yang digunakan. Saya telah mencuba 4 jenis inti yang mana salah satunya saya ambil ari internet dan yang lainnya merupakan olahan saya sendiri. Inti yang menggabungkan badam dan kurma merupakan inti yang paling digemari oleh keluarga saya.




Antara Snowskin Mooncake yang saya hasilkan dengan empat jenis inti yang berbeza







 Dari kiri.. inti kuaci biji labu, inti kastad dan inti kurma badam.. satu lagi inti yang tiada dalam gambar ialah strawberry creamcheese




Inti kurma badam ini yang paling digemari oleh ahli keluarga saya




Snowskin Mooncake yang berintikan kastad. Resipi untuk intinya saya ambil dari blog Guaishushu.com
                             


Yang ini pula saya gunakan gabungan kuaci biji labu, gula halus dan minyak sapi sebagai intinya






Kuih bulan yang berwarna merah jambu saya hasilkan dengan menggunakan gabungan cream cheese, gula dan potongan buah strawberi.. yang ni yang paling sukar untuk dihasilkan kerana intinya lembut..




Snow Skin Moon Cake

Sumber Resipi: Guai Shu Shu
Dicuba oleh: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan untuk kulit:
60 g tepung pulut

40 g tepung beras
20 g tepung kek (tepung superfine)
20 g kanji gandum (wheat starch)
60 g susu pekat manis
50 g minyak masak
220 g atau ml susu segar
Pewarna dan perisa pilhan (saya guna esen vanilla dan pewarna kuning, merah jambu dan hijau)

Bahan lain untuk membuat kulit:
Tepung pulut secukupnya - sangai sehingga ringan dan tepung masak
400 g inti pilihan - bahagikan kepada 12 bahagian dan bulatkan

Cara membuatnya:
Ayak keempat-empat jenis tepung ke dalam bekas. Ketepikan.

Satukan susu segar, susu pekat manis dan susu segar. Kacau hingga sebati, kemudian tuangkan ke dalam bekas yang berisi campuran tepung tadi.
Tapiskan ke dalam loyang atau bekas tahan panas yang bergris. Tutup loyang dengan plastik cling (saya tak tutup acuan dengan plastik, sebaliknya saya cuma bungkus tudung periuk dengan kain semasa proses mengukus).
Kukus selama lebih kurang 30 minit menggunakan api sederhana sehingga masak.
Biar sehingga adunan benar-benar sejuk, kemudian dengan menggunakan sarung tangan plastik yang disapu sedikit minyak masak, uli adunan sekurang-kurangnya 5 minit untuk mendapatkan adunan yang licin (adunan ini sangat melekit dan tidak sesuai diuli dengan tangan tanpa menggunakan sarung tangan plastik).
Bahagikan adunan kepada 12 bahagian yang sama besar.
Ambil satu bahagian untuk kulit dan leperkan menggunakan dua keping plastik. Letakkan inti di tengahnya dan balut inti dengan adunan kulit.
Bentukkan bulat sapu bahagian luar ya dengan sedikit tepung pulut yang disangai. Terap menggunakan acuan mooncake.
Buat sehingga habis. Snow skin mooncake sedia untuk dihidangkan. Jika ingin menyimpannya, masukkan ke dalam bekas tertutup dan simpan dalam peti sejuk.


Inti Kastad
Sumber: Guai Shu Shu

Bahan-bahan:
2 biji telur
2 sudu besar gula
2 sudu besar tepung kastad
40g butter dicairkan
60g tepung super soft
125g susu segar atau susu cair (saya guna susu cair)

Cara membuatnya:

Ayak kedua-dua jenis tepung ke dalam bekas. Masukkan gula dan gaul rata.

Buat lubang di tengahnya dan masukkan telur, susu, mentega cair dan esen vanila. Gaul hingga sebati.

Masukkan ke dalam loyang yang bergris yang dipanaskan dalam pengukus dan kukus menggunakan api besar selama 20-25 minit hingga masak.

Setelah masak keluarkan dari loyang dan kisar menggunakan food processor untuk mendapatkan tekstur yang halus (saya cuma lenyek adunan dengan menggunakan senduk plastik).

Bahagikan doh kepada 25 bahagian dan bulat-bulatkan.


Inti Kurma Badam

Badam yang dipanggang
Kurma
Sedikit air panas

Kurma dibuang biji dan direndam dalam air panas hingga lembut. Ketepikan.

Masukkan badam ke dalam pengisar kering dan kisar hingga halus. Ketepikan.

Kisar pula kurma bersama sedikit saja air sehingga halus.

Gaulkan kurma bersama badam dan bahagikan kepada beberapa bahagian kemudian bulat-bulatkan.







Puding Roti Cocoa Puff

Ilham untuk membuat Puding Roti Cocoa Puff ini timbul setelah melihat ramai rakan-rakan di media sosial yang membuat puding roti yang dilapisi pelbagai jenis puding atau flan yang menarik lagi enak. Kebetulan saya telah membeli biskut Cocoa Puff untuk dibuat puding, jadi terfikir untuk menggabungkannya dengan puding roti. Puding Cocoa Puff merupakan salah satu puding kegemaran saya. Resipimya pernah dikongsi oleh Syaqiela di laman Buku Resepi di Facebook. Saya telah mengadaptasi resipi Puding Cocoa Puff ini untuk digabungkan bersama puding roti yang dikukus atau dibakar secara baine marrie (water bath). Hasilnya ialah puding yang bukan saja cantik dipandang mata tapi juga enak rasanya.



Puding istimewa yang menggabungkan puding roti bersama Puding Cocoa Puff




 Puding ini bukan saja cantik dipandang, tapi juga enak dinikmati pada suhu bilik ataupun setelah disejukkan.





Penggunaan biskut Cocoa Puff dalam puding ini menghasilkan puding yang cantik serta kelihatan berlapis-lapis bila dipotong








 Puding Roti Cocoapuff

Resipi puding roti: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Resipi puding Cocoapuff: Adaptasi dari resipi Sya Qiela
Dihasilkan oleh Abdul Hadi Alyunusi
(Sukatan menggunakan cawan metrik)


Bahan-bahan untuk puding roti:
12 keping roti
½ cawan gula
2 biji telur
1 ¼ (310 ml) cawan susu cair
⅔ cawan (160 ml) air
1 sudu besar butter dicairkan
½ sudu teh esen vanilla
Sedikit garam

Bahan untuk lapisan Puding Cocoa Puff
10 g serbuk agar-agar
¾ cawan gula
3 cawan (750 ml) air
¾ cawan (180 ml) susu cair
½ cawan (125 ml) santan
1 biji telur
⅓ cawan tepung kastad
60g butter
½ sudu teh esen vanilla
Pes pandan dan pewarna hijau secukupnya
Biskut Cocoa puff secukupnya


Cara membuat puding roti:
Sapu loyang 4 segi (loose based) berukuran 7 inci dengan butter dan kemudian alas dengan plastik.

Carik-carikkan roti dan masukkan ke dalam loyang. Ketepikan.
Satukan semua bahan lain dan kacau atau blender hingga sebati dan gula hancur.
Tapiskan ke dalam loyang berisi roti dan ketepikan sehingga roti menyerap bahan-bahan tadi.
Ratakan permukaan dengan belakang sudu dan kukus selama 20-25 minit menggunakan api sederhana hingga masak (boleh juga dibakar secara waterbath).
Angkat dan ketepikan sehingga sejuk. Bila telah sejuk, lalukan keliling puding dengan pisau supaya mudah dikeluarkan nanti.
Sediakan pula lapisan puding Cocoa Puff.

Cara membuat puding Cocoa Puff:
Satukan air, santan dan gula dan serbuk agar-agar. Masak sehingga mendidih dan kacau sehingga gula hancur.

Masukkan butter dan masak hingga butter cair.
Dalam bekas lain, satukan telur, susu dan tepung kastad. Blender atau kacau hingga sebati.
Tuangkan perlahan-lahan ke dalam adunan yang sedang dimasak.
Kacau selalu sehingga adunan menjadi pekat.
Angkat dan bahagikan kepada dua bahagian. Satu bahagian dicampurkan dengan esen vanila dan satu lagi bahagian dicampur pes pandan dan sedikit pewarna hijau.
Tuang separuh dari adunan vanilla ke atas puding roti (boleh juga mulakan dengan adunan pandan). Kemudian susun biskut Cocoa Puff di atasnya.
Tuangkan pula separuh dari adunan pandan dan susun biskut di atasnya.
Ulangi hingga habis. Lapisan puding yang terakhir tidak perlu disusun biskut di atasnya.
Biar hingga puding mengeras sepenuhnya sebelum dihidangkan.ud

Wednesday 8 February 2017

Pasembur

Pasembur merupakan salad India Malaysia yang terkenal di utara tanahair khususnya di Pulau Pinang. Bahan seperti timun, taugeh, telur rebus, sengkuang, tauhu goreng, makanan laut yang digoreng celup tepung, cucur udang dan lain-lain yang dihidangkan bersama kuah kacang yang khusus untuk pasembur. Kuah kacang untuk pasembur ini tak sama dengan kuah kacang  yang dimakan dengan sate atau nasi impit atau cucur udang. Kuah untuk pasembur ini biasanya dicampur dengan udang kering atau sotong kering atau belacan. Ada juga resipi yang menggunakan udang kecil yang dikisar halus. 







Pasembur versi derhaka. Kebiasaannya tempe tidak digunakan sebagai bahan untuk pasembur, sebaliknya ianya digunakan untuk pecal. Tapi disebabkan telur yang saya rebus terhangit, jadi saya gantikan dengan tempe goreng..




Cucur udang, kentang rebus, tempe goreng, taugeh yang dicelur, kacang panjang yang dicelur, tauhu goreng, timun dan sengkuang antara bahan-bahan yang saya gunakan kali ini..





Kalau ada udang, sotong, ketam yang digoreng celup tepung tentunya lebih sedap.. Sayang sekali saya terlupa nak dapatkan semua bahan tersebut ..








Pasembur
Resipi & foto: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan:
200g keledek oren 
1 1/2 labu bawang besar 
4-5 ulas bawang putih 
1 1/2 sudu makan membumbung cili kisar (boleh lebihkan kalau suka lebih pedas)
Sedikit udang kering/belacan/sotong kering
2 sudu teh peanut butter (optional)
3/4-1 cawan kacang tanah - goreng tanpa minyak dah kisar jangan terlalu halus
Segenggam bawang goreng - kisar dengan sedikit air
1/2 kiub ayam - jika suka
Gula melaka dan gula pasir secukup rasa (kali ni saya guna gula perang saja)
Garam secukup rasa
Air asam jawa
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Cara buat kuah pasembur:
* Rebus keledek hingga empuk dan kisar halus. Ketepikan (air rebusan keledek boleh digunakan untuk memasak kuah).
* Rendam udang kering/sotong kering jika menggunakannya biar lembut dan toskan.
* Kisar kasar bawang besar, bawang putih dan udang kering/sotong kering/belacan.
* Panaskan minyak dan tumis bahan kisar bersama cili kisar hingga wangi dan naik minyak.
* Masukkan kisaran keledek, air secukupnya (boleh guna air rebusan keledek tadi), air asam jawa, kacang tanah, bawang goreng, kiub ayam, peanut butter, gula dan garam. Renihkan selama 15-20 minit sambil dikacau sekali sekala.

Hidangkan kuah bersama:
Kacang panjang - dicelur
Taugeh - dicelur
Tauhu - digoreng
Telur - direbus
Kentang - direbus
Udang, ketam, sotong - digoreng celup tepung
Sengkuang
Timun
Cucur udang


Pau/Bao


Anak ketiga saya, Azhad begitu meminati kuih pau yang berintikan kari ayam. Katanya dia selalu beli kuih pau ini di Putrajaya. Menurut Azhad, kuih pau yang dibelinya sangat lembut dan intinya juga sangat enak. Tertarik hati mendengarnya, sayapun cuba mencari resipi kuih pau yang lembut lagi gebu. Alhamdulillah, resipi yang saya cuba ini bukan saja menghasilkan pau yang gebu, malah rupa parasnya juga putih dan cantik. Resipi ini saya dapati dari tasteaseanfood.com.










Pau yang gebu dan enak.. Teksturnya sangat lembut dan ringan.. Kali ini saya gandingkan bersama inti kari ayam.. 






Penggunaan tepung pau dalam resipi ini menghasilkan pau yang bukan saja gebu, malah warnanya juga cantik..






Inti untuk kuih pau ini boleh dipelbagaikan mengikut citarasa masing-masing.. Jom tengok bagaimana cara menghasilkan pau yang gebu lagi enak ini..




Bao/Pau 
Done by: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan untuk starter
* 200g tepung pau
* 10g yis
* 145g gula aising (saya guna gula halus)
* 285ml air suam

Bahan lain untuk doh:
* 10g baking powder (saya guna 2 sudu teh double action baking powder
* 400g tepung pau
* ¼ sudu teh cuka (saya tak guna)
* ¼ sudu teh ammonium bicarbonate (saya tak guna)
* 50g shortening
* 2g garam (saya guna 1/2 sudu teh)

Bahan lain: 
Inti (saya guna inti Kari Ayam)
Potongan kertas atau daun pisang sebagai alas

Cara membuat starter:
* Satukan air suam dan yis dan kacau hingga larut.
* Masukkan tepung dan gula dan gaul rata. 
* Tutup dan rehatkan selama 1 jam.

Cara buat doh:
* Selepas sejam, satukan starter dengan semua bahan-bahan lain dan uli selama 8-10 minit.
* Tutup dan ketepikan selama 30 minit atau hingga doh naik sekali ganda.
* Bahagikan doh kepada bebola kecil seberat 50g. Ketepikan selama 10 minit.
* Ambil satu bahagian doh dan canai bentuk bulat. Letak inti di tengahnya dan bentukkan bulat.
* Alas doh yang telah dibentuk dengan potongan kertas minyak atau potongan daun pisang.
* Ketepikan selama lebih kurang 10-15 minit dan kukus menggunakan api sederhana selama 8-10 minit hingga masak (resipi asal kukus menggunakan api besar).







Sos Peri-peri + Ayam Panggang Peri-peri

Sos Peri-peri dikatakan berasal dari Afrika Selatan. Ada juga pendapat yang mengatakan ianya berasal dari Portugis. Rasanya yang masam-masam pedas mampu menjadikannya sangat sesuai digunakan untuk memerap bahan basah seperti ayam, udang, sotong dan lain-lain dan dapat juga dihidangkan bersama ayam panggang, burger, tortila wraps dan lain-lain hidangan. Sos ini juga dapat digunakan untuk memasak 'spiced rice' dan jika dicampur dengan mayonaise dapat dijadikan dressing untuk dihidangkan bersama salad. Kalau di rumah kami, sos peri-peri ini kami hidangkan juga bersama nasi putih sebagai pengganti sambal belacan.

Jom kita lihat cara membuat sos peri-peri dan juga ayam panggang peri-peri. Sukatan untuk bahan-bahannya boleh diubahsuai mengikut citarasa masing-masing. Contohnya jika anda suka sos peri-peri yang lebih masam, lebihkan sukatan untuk jus lemon  dan jika suka sos yang kurang pedas, kurangkan penggunaan cili api merah. Memang berbaloi buat sos ini sendiri sebab harga yang dijual di pasaran adalah agak mahal.



 


Homemade Peri-peri Sauce yang menepati citarasa kami sekeluarga... 






Rasanya yang masam-masam pedas sesuai digunakan sebagai bahan perapan atau dijadikan sos untuk ayam panggang..





Sesuai dihidangkan bersama ayam panggang, burger, tortila wraps dan lain-lain lagi... 


 


Bahan-bahan yang diperlukan:
2 biji lada benggala merah - buang tangkai dan bahagian tengah dan dipotong kepada beberapa bahagian
3-7 tangkai cili api merah (bergantung pada tahap kepedasan diingini.. saya guna 6 tangkai)
1 labu bawang besar - dibelah2
6 ulas bawang putih - diketuk
1/3-1/2 cawan jus lemon (sukatan ikut citarasa)
1/2 cawan minyak zaitun
Parutan kulit lemon dari sebiji lemon (ambil bahagian warna kuning sahaja)
3/4-1 sudu teh Italian seasoning
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh serbuk paprika
Gula perang dan garam secukup rasa




Panaskan kuali leper yang dilengser dengan sedikit minyak. Panggang lada benggala, cili api, bawang besar dan bawang putih hingga agak layu. 


 


Beginilah rupa bahan-bahan yang dipanggang tadi...




Satukan bahan-bahan yang dipanggang dengan minyak zaitun, jus lemon dan kulit lemon di dalam blender dan kisar hingga halus.


 


Masukkan ke dalam periuk dan tambah gula dan garam secukup rasa. Masukkan juga paprika, lada hitam dan Italian seasoning.

Masak hingga mendidih dan kemudian perlahankan api. Renihkan selama 2-3 minit. Suaikan rasa dan angkat. Jika sos terlalu pekat, boleh tambah sedikit minyak zaitun.






Sos peri-peri yang telah siap... Sedia untuk digunakan..




Ayam panggang ini dibuat dengan memerap ayam dengan sos peri-peri dan semasa dibakar, disapu lagi dengan sos peri-peri untuk memberi salutan yang agak tebal. Bila siap, ayam ini dihidangkan dengan lebihan sos peri-peri. Sayang sedikit saja, saya tersilap memotong ayam ini. Sepatutnya ayam ini dibelah pada bahagian belakangnya, bukan pada bahagian dada. 




  Bahan-bahan untuk membuat ayam panggang peri-peri: 
Seekor ayam - dibersihkan 
1/2 labu bawang besar
1/2 labu bawang putih 
3/4 cawan sos peri-peri - untuk perap ayam
Garam secukup rasa
Sos peri-peri secukupnya - untuk sapu pada ayam semasa memanggang
Madu secukupnya




Kisar bawang besar dan bawang putih hingga halus dan campurkan dengan 3/4 cawan sos peri-peri dan tambahkan garam secukup rasa.

Sapu bahan di atas tadi pada ayam. Simpan secara bertutup di dalam peti ais selama beberapa jam, sebaiknya semalaman.


 

Ayam yang telah diperap, sedia untuk dibakar.. 




Bakar pada suhu 180-200 darjah sehingga masak. Sapu dengan sos peri-peri sebanyak 2-3 kali semasa proses membakar.

Bila ayam sudah masak sapu dengan madu dan bakar sebentar saja lagi.




Ayam yang telah siap dipanggang bolehlah dihidangkan bersama lebihan sos peri-peri.




 Sos Peri-peri & Ayam Panggang Peri-peri 
Resipi & foto: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi 

Sos Peri-peri
Resipi & foto:  Mufidah Abdul Hadi Alyunusi


Bahan-bahan:
2 biji lada benggala merah - buang tangkai dan bahagian tengah dan dipotong kepada beberapa bahagian
3-7 tangkai cili api merah (bergantung pada tahap kepedasan diingini.. saya guna 6 tangkai)
1 labu bawang besar - dibelah2
6 ulas bawang putih - diketuk
1/3-1/2 cawan jus lemon (sukatan ikut citarasa)
1/2 cawan minyak zaitun
Parutan kulit lemon dari sebiji lemon (ambil bahagian warna kuning sahaja)
3/4-1 sudu teh Italian seasoning
1/2 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh serbuk paprika
Gula perang dan garam secukup rasa

Cara membuatnya:
Panaskan kuali leper yang dilengser dengan sedikit minyak. Panggang lada benggala, cili api, bawang
 besar dan bawang putih hingga agak layu.

Satukan bahan-bahan yang dipanggang dengan minyak zaitun, jus lemon dan kulit lemon di dalam blender dan kisar hingga halus.

Masukkan ke dalam periuk dan tambah gula dan garam secukup rasa. Masukkan juga paprika, lada hitam dan Italian seasoning.

Masak hingga mendidih dan kemudian perlahankan api. Renihkan selama 2-3 minit. Suaikan rasa dan angkat. Jika sos terlalu pekat, boleh tambah sedikit minyak zaitun.


Ayam Panggang Peri-peri
Resipi & foto:  Mufidah Abdul Hadi Alyunusi


Bahan-bahan:
Seekor ayam - dibersihkan
1/2 labu bawang besar
1/2 labu bawang putih
3/4 cawan sos peri-peri - untuk perap ayam
Garam secukup rasa
Sos peri-peri secukupnya - untuk sapu pada ayam semasa memanggang
Madu secukupnya

Cara membuatnya:
Kisar bawang besar dan bawang putih hingga halus dan campurkan dengan 3/4 cawan sos peri-peri dan tambahkan garam secukup rasa.

Sapu bahan di atas tadi pada ayam. Simpan secara bertutup di dalam peti ais selama beberapa jam, sebaiknya semalaman.

Bakar pada suhu 180-200 darjah sehingga masak. Sapu dengan sos peri-peri sebanyak 2-3 kali semasa proses membakar.

Bila ayam sudah masak sapu dengan madu dan bakar sebentar saja lagi.

Hidangkan ayam bersama dengan sos peri-peri.