Translate

Monday 20 June 2016

Pau Pulut Hitam








Pertama kali mencuba resipi Pau Pulut Hitam ini beberapa tahun lepas, kami sekeluarga terus jatuh cinta dengannya. Rasanya agak berbeza dengan pau biasa kerana ada penambahan pulut hitam di dalam adunannya. Anak-anak saya lebih menggemari pau ini berbanding pau biasa. Dah banyak kali saya membuat pau ni dan hasilnya tidak pernah mengecewakan. Paunya sentiasa naik dengan cantik dan teksturnya juga sangat lembut dan gebu. Jika anda ingin mencuba sesuatu yang agak berbeza, cubalah Pau Pulut Hitam ini.








 Pau Pulut Hitam
Oleh: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi 
Resipi Asal: Majalah Sedap
Sumber Resipi: Rahel Blogspot


Bahan-bahan: 
225g tepung pau 
50g tepung pulut hitam
1 1/2 sudu teh yis segera
15g  susu tepung
50g gula kastor
1 biji putih telur
115ml air sejuk dari peti sejuk
20g shortening (sy guna marjerin)
1/2 sudu teh double action baking powder (saya tambah)
Kertas minyak/cawan kertas/ daun pisang

Inti secukupnya : terpulanglah nak guna inti apa..sy guna inti karipap dan kelapa

Cara membuatnya:
 Satukan tepung pau, tepung pulut hitam, yis, tepung susu, double action baking powder dan gula kastor. Gaul rata. Buat lubang di tengah dan masukkan putih telur dan separuh dari air. Gaul rata. Tambahkan air sedikit demi sedikit sambil diuli hingga sebati. Masukkan shortening dan uli selama 10-15 minit hingga elastik. (Adunan agak melekit). Masukan doh ke dalam bekas agak besar. Tutup bekas dan biarkan selama 30 minit hingga adunan naik. Bahagikan doh kepada beberapa bahagian (30g setiap satu - sy tak timbangpun). Bulat2kan setiap satu bahagian doh dan ketepikan selama 10 minit. Ambil satu bahagian doh dan canai nipis. Masukkan inti dan bentukkan bulat. Alas dengan kertas minyak, cawan kertas atau daun pisang. Ketepikan lagi selama 30 minit. Kukus lebih kurang 8 minit hingga masak.

Homemade Laksam









Laksam merupakan juadah tradisi yang berasal dari Pantai Timur yang sangat digemari ramai. Anak-anak saya amat menggemari laksam, sekaligus menyuntik semangat buat saya untuk mencuba membuatnya di rumah. Dulu kalau buat mesti laksamnya tidak menjadi. Adakala terlalu keras, adakala pula terlalu lembik. Alhamdulillah setelah beberapa kali bereksperimen, akhirnya mendapat hasil yang amat memuaskan hati dan menjadi pujaan suami dan anak-anak. Biasanya kalau di kampung, laksam dikukus atas tudung periuk yang leper. Tapi disebabkan saya tidak mempunyai tudung periuk yang leper, jadi saya gunakan loyang untuk membakar kek. Untuk mendapatkan laksam yang cantik, setiap kali ingin mengukus pastikan tudung periuk atau loyang yang digunakan disapu dahulu dengan minyak. Setelah laksam masak, biar seketika sehingga sejuk sedikit barulah digulung kepingan laksam dengan kemas.






Disajikan dengan sambal dan bahan-bahan tabur yang lain..begitu enak sekali!






Homemade Laksam 
Resipi: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan untuk laksam:
3 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
Lebih kurang 4 1/2 cawan air suam
1 sudu teh garam
1 sudu makan minyak masak

Bahan-bahan untuk kuah:
1/2 kg ikan kembung/sardin
5-6 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih 
Sedikit halia
Serbuk lada sulah/hitam 
Santan dari sebiji kelapa (atau secukup rasa lemak)
Garam dan gula secukup rasa
Asam keping

Bahan sampingan:
Kacang panjang
Taugeh
Timun
Bawang besar
Limau kasturi
Bunga kantan
Belacan bakar
Sambal (Cili kering direbus hingga kembang dan toskan - tumbuk halus dan perasakan dengan garam dan asam..boleh juga tumbuk bersama belacan bakar atau hidang belacan secara berasingan sebagai bahan tabur)

Cara membuat laksam:

Satukan tepung beras, tepung gandum dan garam. Masukkan 4 cawan air suam dan kacau hingga sebati. Jika perlu tambahkan air secukupnya dan kacau sebati. Masukkan minyak dan kacau rata. Panaskan kukusan dan sapukan loyang atau tudung periuk dengan minyak. Bila air kukusan telah mendidih, tuang sedikit adunan ke atas tudung periuk atau ke dalam loyang dan kukus api sederhana hingga masak. Angkat dan biar suam atau sejuk sedikit baru digulung rapat. Ulang proses ini hingga habis.

Cara membuat kuah laksam:

Rebus ikan bersama sedikit asam keping dan garam. Asingkan isi ikan dari tulangnya. Kisar isi ikan hingga halus. Masukkan ke dalam periuk. Kisar pula bawang merah, bawang putih dan halia hingga halus. Masukkan ke dalam periuk bersama isi ikan tadi. Masukkan air rebusan ikan tadi, gula, garam, asam keping, serbuk lada hitam/sulah dan santan. Tambah air secukupnya jika perlu. Masak atas api sederhana sambil dikacau selalu supaya kuah tak berketul.

Hidangkan laksam yang dipotong bersama kuah, sambal, bahan tabur dan belacan bakar jika suka.