Translate

Thursday 21 April 2016

Maruku Campur (Maruku + Kacang Masala)






Suami saya amat menggemari maruku yang halus dan biasanya dicampur dengan kekacang. Kalau pergi ke pasaraya, boleh dikatakan wajib dia beli maruku ini. Tak dinafikan memang ralit kalau mengunyah maruku jenis ini, tambah-tambah lagi ianya dicampur dengan pelbagai jenis kekacang. Baru-baru ini saya berjumpa resipi yang mirip maruku yang digemari oleh suami, lalu saya mencubanya. Ini merupakan kali pertama saya membuat maruku dan alhamdulillah merasa sangat teruja kerana maruku saya menjadi. Resipi ini menggandingkan maruku halus dengan kacang masala yang mirip kacang botak. Rasanya tak jauh beza dengan yang biasa suami beli di pasaraya, cuma disebabkan saya tiada acuan yang berlubang halus, jadi saya guna acuan yang lebih besar. 





Gabungan maruku dan kacang masala yang sangat ideal!





Untuk membuat maruku ini, satukan:
2 cawan tepung kacang kuda
1-2 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
1-2 sudu teh serbuk lada (saya guna campuran lada putih dan lada hitam)
1 sudu teh serbuk kari ayam 
1 sudu teh gula kastor 
Garam secukup rasa




Gaul hingga sebati.. 




Masukkan air sedikit demi sedikit sambil digaul hingga rata sehingga menjadi doh yang tidak terlalu keras dan juga tidak terlalu lembut..




Beginilah rupa doh yang telah siap diuli..




Sediakan acuan maruku dengan lubang yang halus. Disebabkan saya tiada acuan yang berlubang halus, jadi saya guna acuan yang mempunyai lubang yang paling kecil..




Ambil sedikit doh dan bentukkan lonjong. Masukkan ke dalam acuan..




Pasangkan penutup atau bahagian atas acuan seperti dalam gambar. Acuan ini sudah sedia untuk digunakan. Ada juga acuan maruku yang berbeza dari segi rupa bentuk dan cara gunanya. Yang di dalam gambar ini contoh acuan yang saya guna untuk buat maruku.. 





Panaskan minyak yang agak banyak di dalam kuali. Bila minyak sudah panas, tekankan terus adunan  terus ke dalam minyak..




Goreng maruku menggunakan api sederhana sehingga garing. Masukkan juga beberapa helai daun kari semasa menggoreng.. 




Bila maruku sudah garing, angkat dan toskan minyaknya. Maruku ini boleh dihidangkan begitu saja atau digandingkan dengan kacang masala..




Untuk menyediakan kacang masala, satukan:
1 cawan kacang tanah
2 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu teh serbuk lada
1 1/2 sudu teh serbuk kari ayam 
4 ulas bawang putih yang ditumbuk bersama garam secukupnya dan 1 1/2 sudu teh gula

Gaul semua bahan ini hingga sebati.. 




Masukkan 2-3 sudu besar tepung kacang kuda.. 




Gaul hingga sebati.. 




Masukkan pula sedikit telur yang dipukul ringan untuk menyatukan semua bahan.. 




Gaul hingga sebati. Jika adunan terlalu melekit, masukkan sedikit lagi tepung dan gaul rata.. 




Goreng di dalam minyak panas sehingga garing.. 




Angkat dan toskan.. 




Enak dimakan begitu saja..





Labih sedap dan menarik jika digandingkan dengan maruku yang disediakan tadi.. 



Maruku Campur (Maruku + Kacang Masala)
Done by: Mufidah Abdul Hadi Alyunusi
Sumber resipi: Manju's Eating Delights
(Mixture with Sev, Masala Peanuts and Fried Curry)
(Sukatan menggunakan sudu dan cawan metrik)

Bahan-bahan untuk maruku halus:
2 cawan tepung kacang kuda
1-2 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
1-2 sudu teh serbuk lada (saya guna campuran lada putih dan lada hitam)
1 sudu teh serbuk kari ayam (saya tambah)
1 sudu teh gula kastor (saya tambah)
Garam secukup rasa
Air secukupnya untuk menguli

Bahan-bahan untuk kacang masala:
1 cawan kacang tanah
2-3 sudu besar tepung kacang kuda (saya guna lebih kurang 4 sudu besar)
2 sudu teh serbuk cili
1 sudu teh serbuk kunyit
2 sudu teh serbuk lada (saya guna 1 sudu teh campuran lada sulah dan lada hitam)
1-1 1/2 sudu teh serbuk kari ayam
4 ulas bawang putih (resipi asal guna 2 sudu teh pes bawang putih)
1 1/2 sudu teh gula
1 biji telur - pukul ringan (resipi asal guna air sahaja)
Garam secukup rasa

Bahan lain: 
Daun kari secukupnya (4-5 tangkai)
Minyak untuk menggoreng

Cara menyediakan maruku:
Satukan tepung bersama lada, serbuk cili, gula, garam, serbuk kari, serbuk kunyit dan gaul rata. 

Masukkan air sedikit demi sedikit sambil menguli hingga adunan menjadi doh yang tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembut.

Sediakan acuan maruku yang berlubang halus (saya tak ada acuan berlubang halus jadi saya guna lubang yang paling kecil).

Ambil sedikit adunan, bentukkan lonjong dan masukkan ke dalam acuan. 

Panaskan minyak dan tekan acuan di atas permukaan minyak yang panas supaya adunan maruku jatuh terus ke dalam minyak. 

Goreng sehingga garing. Masukkan juga beberapa helai daun kari semasa menggoreng maruku. Angkat maruku bersama daun kari apabila sudah garing. Toskan.

Ulang menekan adunan dengan acuan dan goreng sehingga habis semua adunan. 

Cara membuat kacang masala:
Tumbuk bawang putih, garam dan gula sehingga bawang lumat. Ketepikan.

Satukan kacang bersama serbuk kari, serbuk kunyit, serbuk lada, serbuk cili dam bawang putih yang ditumbuk tadi. Gaul hingga rata.

Masukkan pula tepung dan gaul lagi hingga rata.

Masukkan telur secukupnya untuk melekatkan kacang pada tepung dan gaul hingga rata (tak perlu guna telur hingga habis). Jika agak melekit, tabur sedikit tepung di atasnya dan gaul hingga rata.

Panaskan minyak dan goreng kacang hingga garing. Angkat dan toskan. Satukan kacang bersama maruku yang sudah siap digoreng.

Selamat mencuba!!












No comments:

Post a Comment