Translate

Sunday 6 March 2016

Thai Red Ruby Dessert (Tab Tim Grob)



 






Tab Tim Grob atau Red Ruby Dessert merupakan juadah pencuci mulut yang terkenal di negara Thai. Selain dari Thailand, juadah ini juga terkenal di negara Indonesia dan Vietnam cuma namanya sedikit berbeza. Di negara kita juga ada juadah yang seakan red rubies ini, iaitu Bubur Delima. Bezanya bubur delima dibuat menggunakan tepung ubi manakala red rubies dibuat menggunakan sengkuang cina yang dipotong dadu dan digaul dengan tepung ubi. Penggunaan sengkuang cina dalam resipi ini menjadikannya hidangan yang sangat menyegarkan, terutama bila dihidangkan semasa cuaca panas.



Antara bahan utama yang diperlukan untuk membuat Red Rubies:
Sengkuang cina (water chestnuts)
Tepung ubi
Pewarna merah




Sengkuang cina dikupas kulit dan dipotong dadu kecil-kecil. Kemudian dicampur dengan sedikit pewarna merah. 





Setelah sengkuang cina  digaul dengan pewarna merah, ketepikan selama beberapa minit. 




Toskan sengkuang cina yang digaul dengan pewarna merah tadi dan gaul pula dengan tepung ubi secukupnya. Pastikan setiap potongan sengkuang cina diselaputi sepenuhnya dengan tepung ubi. Jika to ada sengkuang cina yang melekat antara satu sama lain, leraikan supaya bila direbus nanti ianya tidak bergumpal. 




Masukkan ke dalam penapis santan atau penapis sayur dan ayak untuk mengasingkan potongan sengkuang dengan tepung.




Panaskan air yang banyak di dalam periuk sehingga mendidih. Masukkan sengkuang yang disalut tepung tadi ke dalamnya dan kacau sebentar supaya tidak melekat. Masak beberapa minit sehingga sengkuang timbul pada permukaan air (seperti kita masak adunan buah melaka).





Red rubies yang terapung pada permukaan air menunjukkan ianya sudah masak dan sedia untuk diangkat.




Kaup red rubies yang telah masak dan masukkan ke dalam bekas besar yang berisi air yang banyak dan bercampur air batu. Biarkan red rubies terendam di dalam air sehingga waktu menghidangkannya. Jika ingin menyimpannya lebih lama, bolehlah disimpan dalam petiais bersama dengan air rendamannya. 




Sebelum menyediakan kuah untuk red rubies ini, kita perlu sediakan dahulu air gula atau sirap. Guna 1 bahagian air yang dicampur dengan 1 bahagian gula (contohnya 1 cawan air dicampur dengan  1 cawan gula) dan sehelai daun pandan yang disimpul. Masak sehingga mendidih dan gula larut. Angkat dan ketepikan sehingga sejuk. 




Sediakan kuahnya sejurus sebelum menghidangkan red rubies ini. Campurkan air gula (sirap) yang disediakan tadi bersama santan (terpulang samada ingin menggunakan santan segar atau yang dimasak terlebih dahulu) atau susu cair, air batu dan air masak secukupnya. (Boleh juga masukkan air batu semasa menghidangkannya nanti).




Untuk menghidangkan Red Ruby Dessert, tapiskan red rubies yang disediakan tadi dan masukkan ke dalam bekas hidangan.





Kemudian hidangkan bersama kuah yang disediakan tadi.





Red Ruby Dessert sedia untuk dinikmati!!




Thai Red Ruby Dessert (Tab Tim Grob)
Mufidah Abdul Hadi Alyunusi

Bahan-bahan Red Rubies:
Sengkuang cina (water chestnuts)
Tepung ubi
Pewarna merah

Bahan-bahan untuk sirap:
1 cawan air
1 cawan gula pasir
1 helai daun pandan disimpul

Bahan untuk kuah:
Santan sederhana pekat atau susu cair (atau campuran santan dan susu cair) - boleh gunakan santansegar atau dimasak terlebih dahulu santan tersebut
Sirap (resipi di atas)
Secubit garam
Air jika perlu
Air batu

Cara membuat red rubies:

Sengkuang cina dikupas kulit dan isinya dipotong dadu kecil-kecil. Masukkan sedikit pewarna merah dan ketepikan selama beberapa minit. Kemudian toskan dan gaul bersama tepung ubi secukupnya hingga tiap butir potongan sengkuang cina disaluti tepung. Masukkan ke dalam penapis sayur atau penapis santan dan ayak untuk membuang lebihan tepung. Ketepikan. 

Masukkan air yang agak banyak ke dalam periuk dan jerang sehingga mendidih. Masukkan sengkuang yang bersalut tepung tadi ke dalam air yang mendidih dan masak beberapa minit atas api sederhana sehingga sengkuang terapung ke atas permukaan air (macam kita buat kuih buah melaka. Cedok sengkuang yang terapung menggunakan sudip yang berlubang dan masukkan ke dalam bekas yang berisi air bercampur air batu. Ketepikan.

Cara menyediakan sirap:

Satukan air bersama gula. Masukkan ke dalam periuk bersama sehelai daun pandan yang disimpul. Masak atas api sederhana hingga mendidih dan gula larut sambil dikacau sekali sekala. Angkat dan ketepikan sehingga sejuk. 

Cara menyediakan kuah:

Campurkan santan (atau susu cair) bersama secubit garam dan sirap secukupnya. Tambahkan air secukupnya jika perlu hingga mendapat kepekatan yang dikehendaki. 


Cara menghidang red rubies: 

Toskan red rubies dan masukkan ke dalam bekas hidangan.  Masukkan kuah santan (atau susu cair) tadi dan tambah  air batu secukupnya. Sedia untuk dihidangkan.

Selamat mencuba!!















No comments:

Post a Comment